Job seeker. Let us help youClick here to read more

Autisme Malaysia: Bagaimana Mengenal Pasti, Diagnosis & Bantu Anak Anda?

Published: 10 Nov, 2025

Parenting & Child Development

dalam artkel ini

Beberapa perkara utama yang akan didedahkan oleh pakar kita iaitu: –

  • Autisme ialah brain difference, bukan kekurangan.
  • Fasa emas intervensi ialah umur 2–5 tahun.
  • Kesedaran di Kuching meningkat pesat, namun stigma masih wujud.
  • Intervensi awal dan sokongan komuniti seperti KAA, PIBAKAT, OSEIC membantu keluarga.
  • Pendidikan inklusif perlu difahami oleh semua guru, bukan hanya guru khas.
  • Kesihatan mental ibu bapa sama penting dengan terapi anak.
  • Autisme bukan tentang had, ia tentang potensi yang boleh berkembang

Autisme – sebuah perkataan yang sering kali menimbulkan pelbagai emosi dalam kalangan ibu bapa. Ada yang cemas, keliru, malah takut apabila mendengarnya. Namun, adakah kita benar-benar memahami apa itu autisme? Atau sekadar bergantung kepada maklumat yang tidak tepat dan mitos yang tersebar?

Pada akhir Oktober yang lalu, pasukan SkoolSprout berkesempatan untuk bertemu dengan seorang pakar dalam bidang ini di Kuching, Sarawak – En. Erdy Izwan. Dalam pertemuan yang bermakna ini, kami menyelami topik yang menjadi kebimbangan ramai ibu bapa pada masa kini, namun masih diselubungi stigma dan salah faham – Autisme.

Melalui artikel ini, kami ingin berkongsi pandangan pakar, pengalaman sebenar, dan harapan baru untuk keluarga yang mempunyai anak dalam spektrum autisme. Ini bukan sekadar temubual biasa – ia adalah satu perjalanan untuk memahami, menerima, dan menyokong generasi neurodivergent kita dengan lebih baik.

Erdy Izwan dan Let'z Play Group Sdn Bhd

En. Erdy Izwan merupakan seorang Ahli Terapi Carakerja Kanak-Kanak serta Pengarah Klinikal di Let’z Play Group Sdn. Bhd., sebuah organisasi klinikal yang memfokuskan kepada intervensi awal, sokongan perkembangan, dan keperluan komuniti neurodivergent di Kuching, Sarawak.

Beliau aktif dalam penyelidikan, latihan profesional dan pembangunan modul intervensi; khususnya dalam bidang komunikasi sosial, Naturalistic Developmental Behavioural Intervention (NDBI), dan parent coaching untuk kanak-kanak autisme.

Selain terlibat dalam pengurusan klinikal, beliau juga memimpin pelbagai program advokasi dan pendidikan masyarakat bagi meningkatkan akses, kesedaran dan empowerment komuniti autisme di negeri Sarawak.

1. Definisi & Kesedaran Autisme

Apa Itu Autisme?

“Autisme ialah perbezaan cara otak memproses bahasa, sosial, emosi dan sensori – bukan masalah nakal, bukan salah asuhan, dan bukan penyakit berjangkit.”

En.Erdy menjelaskan bahawa autisme berada dalam spektrum. Setiap anak mempunyai kekuatan dan cabaran yang berbeza.

Beliau menegaskan, anak autistik tidak perlu “diperbaiki”, tetapi difahami dan disokong mengikut cara pembelajaran mereka sendiri. Apabila ibu bapa melihat autisme sebagai brain difference, penerimaan menjadi lebih mudah dan intervensi yang dipilih juga lebih tepat.

Tanda Awal Autisme (2–5 Tahun)

Tanda awal biasanya melibatkan komunikasi, interaksi sosial dan cara bermain:

  • Kurang eye contact
  • Tidak memberi respons bila dipanggil
  • Lambat bercakap / echolalia
  • Bermain secara repetitif
  • Sensitif terhadap bunyi, cahaya, atau tekstur
  • Sangat rigid dengan rutin

“Tempoh umur 2 hingga 5 tahun adalah fasa emas untuk detection dan intervensi kerana perkembangan neural sangat aktif pada waktu ini.”

Tahap Kesedaran di Kuching Pada Masa Kini

“Kesedaran tentang autisme di Kuching semakin meningkat — lebih ramai ibu bapa datang untuk screening, guru mula bertanya bagaimana menyokong anak neurodivergent, dan banyak NGO serta pusat intervensi muncul.”

Namun, beliau mengakui masih wujud kekeliruan antara autisme dan speech delay, serta stigma halus yang perlu dihapuskan.

Berbanding lima tahun lalu, masyarakat kini jauh lebih terbuka dan ilmiah dalam memahami neurodiversity — satu perkembangan positif untuk Sarawak.

2. Diagnosis dan Intervensi Awal

Proses Diagnosis Autisme

“Diagnosis bukan sekadar label — ia adalah peta rujukan untuk menentukan intervensi yang tepat.”

Proses bermula dengan pemerhatian awal oleh ibu bapa, guru, atau individu terdekat. Langkah seterusnya ialah screening melalui klinik kesihatan, pusat intervensi, atau ahli terapi bertauliah. Dari situ, rujukan boleh dibuat kepada pakar perkembangan kanak-kanak, clinical psychologist, atau paediatric psychiatrist.

Mengapa Intervensi Awal Penting

“Sokongan awal mampu memberi impak besar terhadap pembelajaran, komunikasi, dan kawalan emosi anak.”

En. Erdy menerangkan bahawa bentuk intervensi biasanya melibatkan gabungan terapi carakerja (OT), terapi pertuturan (SLT), play-based intervention, NDBI, dan parent coaching.
Fokusnya bukan untuk mengubah anak, tetapi membina kemahiran yang menyokong self-regulation, komunikasi dan kebolehan berfungsi.

Cabaran Selepas Diagnosis

“Selepas diagnosis, ramai ibu bapa mengalami fasa emosi yang tidak stabil— terkejut, sedih, keliru dan cemas.”

Beliau menekankan pentingnya sokongan emosi, mental dan sosial kepada ibu bapa. Ramai terlalu fokus mencari rawatan pantas tanpa memahami bahawa perkembangan anak memerlukan konsistensi dan kesabaran.

3. Sokongan Komuniti & NGO di Sarawak

Ekosistem Sokongan di Kuching

“Di Sarawak, keluarga anak autistik tidak keseorangan.”

En. Erdy menyenaraikan beberapa inisiatif dan pusat sokongan:

  • Kuching Autistic Association (KAA) – intervensi awal & latihan vokasional
  • PIBAKAT – komuniti ibu bapa & anak berkeperluan khas
  • OSEIC Sarawak – pusat intervensi multidisiplin berskala negeri
  • Let’z Play Therapy & Redwood Autism Center – pusat klinikal dengan pendekatan individual

Gabungan inisiatif ini menjadikan Sarawak semakin progresif dalam menyediakan ecosystem of support untuk keluarga.

Inisiatif Kerajaan & NGO Tempatan

“Kerajaan Sarawak melangkah ke hadapan dengan pembinaan Special Needs Community Centre (SNCC) di Samarahan.”

Selain itu, NGO seperti KAA dan PIBAKAT terus memperkukuh kesedaran melalui bengkel, program outreach, dan pameran pendidikan. Usaha ini mengurangkan beban keluarga dan memecahkan jurang akses terutama di luar bandar.

Menghapus Stigma Masyarakat

“Perubahan stigma bukan berlaku hanya melalui seminar dan poster, tetapi melalui sikap empati harian yang diamalkan.”

En. Erdy menekankan bahawa masyarakat perlu memahami autisme sebagai perbezaan neurologi, bukan kekurangan. Sokongan kecil seperti memberi ruang anak autistik di tempat awam, meraikan potensi mereka dan tidak menyekat aktiviti mereka – semuanya membantu membentuk budaya penerimaan yang matang.

4. Pendidikan & Inklusi di Sekolah

En. Erdy menegaskan bahawa pendidikan inklusif memberi peluang kepada anak autistik membina kemahiran sosial dan meningkatkan fungsi harian.

“Kesediaan sekolah ke arah inklusi semakin berkembang, tetapi tahap pelaksanaannya masih tidak seragam.”

Beliau menasihatkan guru untuk mengamalkan pendekatan “observe first before teach”, menggunakan arahan ringkas dan visual support. Fokus utama adalah hubungan dan engagement, bukan pencapaian akademik segera.

Bagi mewujudkan sekolah mesra autisme, penting untuk:

  • Kurangkan bunyi & gangguan visual
  • Sediakan calm corner
  • Gunakan rutin visual dan komunikasi jelas
  • Latih semua guru (bukan hanya guru khas) tentang literasi neurodiversity

5. Nasihat kepada Ibu Bapa

“Ia bukan tentang kehilangan anak, tetapi tentang perubahan harapan – dan itu normal.”

En. Erdy menjelaskan bahawa ibu bapa perlu memberi ruang kepada diri untuk memproses emosi, menjaga kesihatan mental dan mencari sokongan komuniti.

Beliau menggalakkan ibu bapa memulakan intervensi awal dan parent coaching sebaik sahaja diagnosis diterima.

“Perjalanan ini bukan sprint, tetapi marathon. Bergeraklah langkah demi langkah, bukan terburu-buru.”

Beliau turut berkongsi kisah inspirasi tentang seorang kanak-kanak autistik di Sarawak yang menunjukkan peningkatan ketara selepas dua tahun intervensi konsisten – ini membuktikan bahawa autisme bukan tentang limit, tetapi potensi.

Key Takeaway

“Kita perlu melihat autisme bukan melalui stigma, tetapi sebagai kepelbagaian neurologi yang wujud dalam komuniti kita.”

En. Erdy menekankan bahawa setiap anak autistik mempunyai potensi besar untuk berkembang apabila diberi ruang dan sokongan yang sesuai.

Beliau menyeru agar masyarakat dapat berubah daripada judgement kepada empati, dan daripada label kepada penerimaan.

Untuk mendapatkan khidmat rundingan atau penilaian awal, masyarakat boleh menghubungi pasukan beliau di Let’z Play Therapy, yang menyediakan intervensi pediatrik berasaskan bukti dan play-based approach untuk keluarga di Sarawak.

Share This Article
Ameera
Editor in SkoolSprout. Enjoy reading and watch movies!